Find us on Facebook

Pupuk anak cintakan buku dan tip-tip mengajar anak membaca

Assalamualaikum. Selain belikan mainan kepada Thaqif, Fiza berusaha untuk mendidik supaya Thaqif sukakan bahan bacaan. Walaupun umur dia masih muda seperti peribahasa anak ibarat kain putih , ibu bapalah yang akan mencorakkannya. 

Bila bawa Thaqif kerap ke kedai buku, mama dia yang tidak berminat nak membaca pun jadi tergerak hati ikut membaca sama.




 

 

  
2 buku yang sempat dibeli semalam

Insyaallah usaha ini akan dilakukan secara berterusan, kerana tidak rugi pun ada hobi membaca.  Fiza kongsikan beberapa panduan untuk mendidik anak minat membaca. 
Tip 1: Mulakan seawal mungkin
Tanamkan minat membaca dalam diri anak-anak seawal usia bayi. Walaupun tidak dapat membunyikan apa-apa huruf, mereka masih dapat memahami konsep membaca. Ini dapat membiasakan mereka dengan buku disamping membina perhubungan kita dengannya. Jika mereka tidak dibiasakan dengan buku sedari awal, berkemungkinan mereka tidak akan menunjukkan minat apabila usia meningkat.


Tip 2: Bacakan kepada mereka

Anak-anak sehingga umur 3 tahun dapat dibantu memahami bahawa coretan diatas kertas sebenarnya mempunyai makna dengan membacakan kepadanya. Bacakan sekurang-kurangnya 20 minit sehari dan tambahkan apabila usia meningkat. Sasarkan sebanyak 3-4 buah buku sehari. Pastikan pilihan buku yang mendapat respon paling menceriakan. Libatkan mereka ketika membaca seperti menyelak muka surat.


Tip 3: Baca dengan kefahaman

Jadikanlah tujuan membaca untuk kefahaman, bukan sekadar membunyikan perkataan. Tanyakan soalan agar mereka dapat berinteraksi dengan buku dan membantu kefahamannya. Bagi bayi, tanyakan apa yang dapat dilihat dalam buku seperti: “Anisa nampak kucing?” sambil menuding gambar kucing. Apabila meningkat usia, mintalah dia tunjukkan gambar-gambar dalam buku. Pada usia 2 atau 3 tahun, tanyakan soalan sebelum, semasa dan selepas buku dibaca. Jika berkaitan dengan perasaan, tanyakan jika dia pernah merasakan perasaan itu. Tanyakan juga tentang gambar-gambar dalam buku seperti; “Eh besarnya rumah ini. Cantik tak Ahmad?”


Tip 4: Pilih bahan bacaan

Pilihan bahan bacaan penting dalam proses membaca. Harus ada keseimbangan antara keinginan melihat anak-anak membaca dan jangkaan terhadap kemampuan mereka. Berikan bahan bacaan yang sedikit mencabar tetapi mampu untuk dibaca oleh anak-anak. Kita juga boleh memilih buku asas tulisan jawi bagi tambahan buku huruf dan buku Iqra’ bagi tambahan mengajar mereka mengaji.


Tip 5: Gunakan sebanyak mungkin deria

Anak-anak lebih mudah dan cepat belajar apabila kesemua derianya digunakan. Apabila mula menunjukkan minat terhadap huruf, jalankan aktiviti-aktiviti yang melibatkan derianya yang lain. Libatkan bunyi-bunyian huruf sambil bertepuk tangan atau mengenal dan menggunting huruf-huruf daripada keratan akhbar. Kenalpasti aktiviti yang paling mereka gemari dan gunakannya selalu untuk pelajaran seterusnya.


Tip 6: Bunyikan huruf

Kaedah ini lebih dikenali sebagai kaedah fonetik atau decoding. Ia memperkenalkan anak-anak kepada bunyi huruf dan bukan nama huruf. Apabila telah kenali bunyi huruf, mereka akan bersedia untuk mencantumkan huruf-huruf menjadi perkataan. Galakkan anak-anak untuk membunyikan setiap huruf untuk perkataan-perkataan pendek seperti: i-b-u untuk ‘ibu’ dan s-a-y-a untuk ‘saya’. Membiasakan mereka membunyikan huruf-huruf akan memudahkan mereka mengenalpasti perkataan.


Tip 7: Jadilah contoh terbaik

Ingat pesanan ini. Anak-anak yang teruja dengan buku akan luntur minatnya jika tidak melihat contoh di rumah. Jika kurang minat membaca, pastikan kita masih membaca di hadapannya untuk beberapa minit sehari. Bacalah majalah, buku masakan, novel mahupun al-Qur’an. Tunjukkan bahawa membaca adalah sesuatu yang juga dilakukan oleh orang dewasa. Bagi anak lelaki, pastikan bapa menjadi contoh. Kita sering terlupa bahawa mereka lebih mudah belajar melalui contoh. Jadi, ambillah bahan bacaan dan bacalah, demi anak-anak!


Tip 8: Bersabar dan istiqamah

Apa jua kaedah, pastikan ianya konsisten serta dilakukan dengan tenang dan ceria. Hindarkan tekanan terhadap anak-anak kerana ia juga akan menyebabkan kita tertekan. Jika tiada perkembangan ketara, janganlah berputus asa. Teruskan mengajar anak-anak dalam 10 – 15 minit sehari-hari secara konsisten. Ini lebih berkesan daripada sesi 2 – 4 jam sehari kemudian berhenti beberapa hari. Kekalkan fokus kita kerana yang sedikit tetapi berterusan itu lebih baik dan berkesan.


Tip 9: Bergembiralah dengan hasilnya

Setiap perkembangan yang ditunjukkan walau sekecil mana harus dihargai. Berikan ganjaran seperti pujian, pelukan dan ciuman. Tunjukkan wajah yang gembira dan ceria setiap kali mereka mengeja, membaca mahupun sekadar membunyikan sesuatu terutama bayi. Jadikanlah proses pengajaran dan pembelajaran membaca ini sebagai kenangan manis untuk kita dan anak-anak.

Harap tips yang dikongsikan mendapat manfaat kepada semua mommies di luar sana. Fiza pun akan cuba untuk amalkan tips yang diberikan. Sumber

Wassalam.


Post a Comment

2 Comments

  1. Betul tu. Nak semaikan budaya membaca kat anak-anak memang kena dari awal dan yang penting kena konsisten :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Manfaat pembacaan anak juga akan berganda-ganda setiap tahun. Seperti yang Warren Buffett kata "Compounding Interest".

      Delete