Harta Haram @ Wang Tidak Patuh Syariah | Cara untuk sucikan harta yang bukan milik kita

Assalamualaikum. Alhamdulillah dan syukur kepada Allah atas rezeki yang diberikan oleh Allah. Rezeki bermaksud segala sesuatu yang bermanfaat, berguna untuk setiap makhluk, dan dapat digunakan oleh manusia sebagai sumber kehidupan. Rezeki juga bermaksud pemberian, pemberian atau pemberian dari Allah SWT untuk makhluknya. 

Dengan kata lain, rezeki adalah segala sesuatu yang dapat menyokong kelangsungan hidup manusia dan untuk menuju kepada kehidupan yang lebih baik. Rezeki dalam Islam merangkumi semua yang ada dalam kehidupan manusia sama ada dalam bentuk masa, kesihatan, kesihatan, dipanjangkan umur, dan sebagainya.



Harta Haram @ Wang Tidak Patuh Syariah | Cara untuk sucikan harta yang bukan milik kita | Walaupun pengertian rezeki sangatlah luas tetapi demi kelangsungan hidup, manusia perlu mencari dalam bentuk wang dan harta untuk hidup. Islam mewajibkan umatnya mencari rezeki yang halal, bersih dan berkat serta bekerja dengan tekun untuk mencapai kebahagian dunia dan akhirat.

Dengan kata lain umat Islam berkewajipan untuk mencari dan memperolehi rezeki daripada sumber yang halal. Sumber-sumber yang halal antaranya adalah :

1. Sebarang hasil usaha yang tidak bertransaksi dengan perkara atau unsur yang haram,
2. Tiada unsur syubhah
3. Tiada unsur gharar
4. Tidak mengambil hak orang lain
5. Tidak menipu, mencuri atau merompak 
6. Tidak menyalahgunakan kuasa. 


Hadis Rasulullah SAW daripada An-Nu’man bin Basyir r.a katanya :

“Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya yang halal itu telah jelas (hukumnya) dan yang haram itu jelas (hukumnya) dan di antara kedua duanya (halal dan haram) terdapat perkara yang syubhah (yang tidak akan jelas akan kehalalannya dan keharamannya) yang tidak di ketahui oleh ramai manusia, maka barang siapa yang berjaga-jaga dari perkara yang syubhah, sesungguhnya ia telah menjaga agama dan kehormatannya". (Riwayat al-Bukhari)

Jika umat Islam sentiasa mengingati tentang hukum Allah dalam mencari rezeki dan nafkah kehidupan, maka mereka akan melibatkan diri dalam sebarang pekerjaan yang halal walaupun tubuh badan dan pakaian mereka kotor dan disaluti lumpur.


Apa itu Harta Haram @ Wang Tidak Patuh Syariah

Prof. Dr. Mohammad Nabil Ghanayim, Profesor di Kuliyyah Syariah Universiti Kaherah, telah mentakrifkan wang atau harta tidak patuh syariah sebagai harta haram yang diperolehi melalui jalan-jalan yang tidak syarie iaitu mengambil harta yang terdapat larangan ke atasnya, atau terdapat balasan (had) ke atas pelakunya, atau terdapat janji buruk berkaitannya, atau yang dinamakan sebagai batil oleh Allah SWT.


Pandangan Imam al-Syafie juga telah menyatakan bahawa syariah telah melarang lapan perkara pokok iaitu riba, gharar, perjudian, penipuan, rampasan, ihtikar (monopoli barangan), rasuah dan perniagaan yang tidak patuh syariah serta mendatangkan kemudaratan (seperti arak, babi, bangkai, makanan yang memudaratkan, pendapatan daripada pelacuran dan seumpamanya).

Manakala kebanyakan fuqaha’ mutakhir ini mentakrifkan harta tidak patuh syariah ialah harta yang dimiliki dan diperolehi melalui wasilah yang tidak diiktiraf oleh syarak seperti : 

1. Rompakan
2. Rampasan
3. Hasil jualan barang curi
4. Rasuah
5. Perjudian
6. Loteri
7. Transaksi riba
8. Perlindungan insurans konvensional
9. Keuntungan pelaburan di dalam sekuriti tidak patuh syariah dan seumpamanya.


Harta yang Haram dan Syubhah wajib dielakkan

Ramai umat Islam sama ada secara sedar atau tidak yang terjebak dengan urusan kerja secara haram hingga menjadikannya sebagai sumber rezeki harian untuk diberikan makan kepada ahli keluarga. 

Manusia mudah digelapkan mata dengan wang ringgit dan kebendaan hingga alpa dan tidak mempedulikan halal atau haram dalam kehidupan. Antara ‘pekerjaan’ yang haram dan syubhah ialah :

1. Memperdaya orang
2. Menipu
3. Menawarkan pelbagai skim cepat kaya yang diragui
4. Mengadakan transaksi riba
5. Mengambil deposit wang secara tidak sah
6. Menyertai pelaburan saham tidak patuh syariah
7. Menyalahgunakan kuasa, memberi dan menerima rasuah dan lain-lain


Cara mudah untuk memperolehi wang ini pula dipertontonkan kepada seluruh masyarakat dengan menayangkan koleksi kereta mewah, menjalani gaya hidup mewah, membuat percutian mewah dan seumpamanya yang diragui latar belakang kerjaya sebenarnya. 

Benarlah firman Allah SWT dalam surah al-Taghabun ayat 15:

 Sesungguhnya harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan di sisi Allah jualah pahala yang besar.”

Walaupun kita amat digalakkan menceburi bidang perniagaan kerana dikatakan 9/10 daripada rezeki adalah datangnya dari perniagaan, tetapi hendaklah daripada perniagaan yang halal dan sah. 

Tidak syak lagi ramai umat Islam kini telah tidak mempedulikan halal dan haram sebagaimana yang telah diperingatkan oleh Rasulullah SAW sendiri kepada kita melalui hadis baginda yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. bahawa: 

  "Pasti akan datang suatu zaman di mana manusia tidak lagi mempedulikan dari mana hartanya diperoleh, apakah dari jalan yang halal atau haram.” (Riwayat al-Bukhari)

Hadis ini menjelaskan akan wujud pergeseran nilai-nilai yang dipegang teguh oleh generasi umat Islam terdahulu yang sentiasa berusaha mencari perkara halal dan sedaya upaya menjauhi perkara yang haram. Tetapi keadaan sebaliknya yang akan berlaku apabila manusia akhir zaman yang lebih mementingkan wang ringgit dan kekayaan semata-mata tanpa melihat pertimbangan yang sebaik mungkin berdasarkan agama dan moral. 


Peranan Umum Institusi Kewangan Islam


Dengan kepesatan pembangunan ekonomi negara ketika ini dan tumbuhnya pelbagai institusi kewangan Islam pada hari ini seperti bank-bank Islam, akaun-akaun dan sekuriti-sekuriti patuh syariah, syarikat-syarikat insurans Islam (takaful), syarikat-syarikat pajak gadai Islam (Ar-Rahnu) dan sebagainya, maka menjadi kewajipan (compulsory) kepada umat Islam untuk menggunakan sistem kewangan Islam yang wujud ini dengan sewajarnya. 

Secara umumnya, institusi kewangan Islam terdiri daripada beberapa badan dan agensi, antaranya:

1. Bank
2. Pengendali takaful
3. Pengurusan dana Islam
4. Badan zakat
5. Institusi waqaf
6. BaitulMal 
7. Badan-badan lain yang menjalankan urusan kewangan secara Islam.

Pada masa yang sama, dengan memantapkan iman dan memelihara diri dari melakukan perkara-perkara yang mazmumah, insya Allah akan menghindarkan diri kita dari terjebak ke lembah kehinaan atau memakan hasil-hasil yang haram.


Harta haram tidak boleh disucikan dengan zakat

Rezeki yang diperoleh secara haram tidak akan diberkati Allah dan malah dijanjikan balasan buruk oleh Allah SWT di akhirat kelak. 

Dalam konteks harta yang haram dan syubhah ini, ia sememangnya tidak boleh dijadikan rezeki atau dimiliki dan sebaliknya hendaklah dikembalikan kepada pemilik asal. Imam Nawawi menyatakan bahawa kaedah penyucian harta yang haram adalah dengan bertaubat, memulangkang semula kepada pemilik asalnya atau warisnya dan membelanjakan bagi maksud maslahah umum. 

Rezeki yang haram tidak boleh disucikan dengan zakat. Zakat hanya disucikan melalui sumber rezeki kita yang halal sahaja. 

Ia sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:

Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (Surah Al-Taubah: ayat 103) 

Ibadat zakat adalah penilaian yang subjektif selain dari agen penyucian, ia adalah hak “orang lain” di dalam harta kita. Berbeza dengan penyucian harta haram atau syubhah atau mudah disebut sebagai wang tidak patuh syariah, ia adalah jelas, objektif dan umum diketahui oleh umat Islam tentang pengharamannya. 

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Al-Hakim, Rasululullah S.A.W. bersabda, 

"Barangsiapa yang mengumpulkan harta yang haram kemudian mendermakannya, tiadalah baginya sebarang pahala (kerana harta itu bukan hartanya) dan penanggungan dosanya kekal (sehingga bertaubat)“ 

Maka dengan itu, adalah menjadi tanggungjawab setiap umat Islam untuk menjauhkan diri daripada bertransaksi dengan urusan-urusan yang melibatkan perkara-perkara haram atau diragui kehalalannya. 

Allah SWT telah memperingatkan kita supaya janganlah mengambil harta yang haram sebagaimana maksudnya: 

“Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).”(Surah al-Baqarah: 188)


Penggunaan dan Pengagihan Wang Tidak Patuh Syariah

Sesuatu harta yang diperolehi dari sumber yang haram juga tidak wajar dimusnahkan terutamanya sekiranya harta-harta tersebut mempunyai manfaat.


Keharusan penggunaan harta yang haram digunakan untuk tujuan maslahah umum juga dapat dilihat berdasarkan peristiwa sewaktu Rasulullah SAW menyuruh menyedekahkan kambing yang diberikan kepadanya. Kambing tersebut diambil dari sumber yang haram (diambil tanpa diketahui siapa pemiliknya), lalu Rasulullah SAW menyuruh kambing tersebut disembelih dan diberikan kepada tawanan perang.


Majlis Agama Islam Selangor pilihan cara pelupusan yang utama dan selamat




Sebagai sebuah organisasi ulung yang bertanggungjawab mentadbir dan memegang amanah harta-harta orang Islam, MAIS berperanan untuk menyampaikan maklumat dan pengetahuan kepada seluruh umat Islam berkenaan peri pentingnya mengurus harta secara bijaksana sebagaimana yang dituntut oleh hukum syarak. 

Pelbagai cabang pengurusan harta Islam telah diteroka dan hasilnya ia direalisasikan untuk manfaat seluruh umat Islam negeri ini. Aplikasi pelaksanaan sesuatu perkhidmatan itu dikaji dari segenap segi bagi memastikan perjalanan atau proses perkhidmatan yang dilaksanakan sentiasa bersandarkan kepada hukum syarak. 

Mengambil pendekatan di atas, salah satu terimaan yang diperolehi di MAIS adalah melalui serahan wang tidak patuh syariah. Wang tidak patuh syariah boleh dikatakan sebagai istilah baru bagi mengambil pakai penggunaan nama wang haram atau wang syubhah yang bersesuaian dengan arus kemodenan masyarakat ketika ini.

Bayaran secara online melalui sistem e-MAIS


Penyerahan kepada Baitulmal, Majlis Agama Islam Selangor merupakan pilihan cara pelupusan yang utama, selamat dan meyakinkan serta mampu menyumbang kepada peningkatan sosio-ekonomi umat Islam sebagaimana yang diperuntukkan di dalam Seksyen 7, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003: “maka hendaklah menjadi kewajipan majlis untuk menggalakkan, mendorong, membantu dan mengusahakan kemajuan dan kesejahteraan ekonomi dan sosial masyarakat Islam di dalam negeri Selangor selaras dengan hukum syarak.” 

Serahan wang tidak patuh syariah boleh dibuat secara tunai atau cek di kaunter Baitulmal ibu pejabat atau pejabat-pejabat agama Islam daerah dalam negeri Selangor atau didepositkan ke akaun:

Bank Islam Malaysia Berhad,
no. akaun 12-038-01-009567-6 

atau cek atas nama 
Majlis Agama Islam Selangor

atau pindahan wang melalui sistem e-MAIS di


Ingat orang yang bersedekah dengan harta yang haram atau syubhah ke jalan kebajikan tetap tidak mendapat pahala sedekah, sebaliknya akan mendapat pahala dari sudut lain iaitu beroleh pahala disebabkan usahanya untuk melupuskan harta yang haram dan tidak menggunakan harta tersebut untuk dirinya dan ini adalah pahala disisi Allah S.W.T. 

Semoga dengan penyucian harta ini diterima dan diberkati Allah SWT. Info lanjut boleh layari laman web MAIS di www.mais.gov.my

Post a Comment

14 Comments

  1. baru tahu ada macam ni. bagus info ni.

    ReplyDelete
  2. memang selalu berdoa semoga rezeki yang kite terima halal dan berkat. Insha allah, kalau kita ambil berat hal ni, Allah permudahkan urusan kita

    ReplyDelete
  3. bagus mais buat macam ni ... senang kita nak settle bab ni.. kalau tak ... adui pening kan

    ReplyDelete
  4. Ramai suka ambil mudah bab cuci duit ni kan. Moga mendapat iktibar.

    ReplyDelete
  5. Perkongsian yg bermanfaat. Tq share 😊

    ReplyDelete
  6. now dah tahu nak bagi kat mana kalau ada duit yang x patuh syariah.
    semoga kita semua terhindar daripada duit haram.
    tq share Fiza.

    ReplyDelete
  7. wah dapat refesh blk...bab harta haram wang tidak patuh syariah nih... ilmu perlu di ulang kaji

    ReplyDelete
  8. Semoga dijauhkan dri memiliko wang haram.. Bagus adanya Baitulmal..

    ReplyDelete
  9. Moga kita terhindar dari adanya harta haram ni samada dengan sengaja atau tanpa sengaja

    ReplyDelete
  10. Harap-harap ai tak tergolong dala golonga yang ada harta tak patuh syariah ni.

    ReplyDelete
  11. Macam mana lah ye orang yang bg family makan dengan harta haram..moga kita dijauhkan..

    ReplyDelete
  12. baru tahu ada cara tuk wan g tak patuh syariah ni,,,good info

    ReplyDelete
  13. abe kie telah bertukar kpd perbankan Islam sepenuhnya. Jauhi sumber yg haram. In Shaa Allah selamat di dunia n akhirat...

    ReplyDelete
  14. Bayar zakat pun salah satu cara nak sucikan wang. Dulu memang kena buat penyucian harta masa keluarkan KWSP. Skrg dahbada kwsp syariah

    ReplyDelete