Find us on Facebook

Pentingnya Wasiat dan Ilmu Perancangan Pewarisan Harta | Apa yang wanita perlu tahu?

Assalamualaikum. Untuk kali ini Fiza ingin menyentuh topik yang mana orang Melayu Islam kita cukup sensitif bila memperkatakan perihal Wasiat. Dilabelnya kita tamak harta, tak baik fikir bukan-bukan dan macam-macam lagi tomahan lebih-lebih lagi apabila kaum wanita yang mengingatkan kepada si suami atau lelaki. 

Akibatnya akan dapat dilihat apabila berlakunya kematian. Maka akan terjadilah kejadian perebutan harta, pergaduhan ahli keluarga serta adik beradik dan akhirnya putus tali persaudaraan. Semuanya berpunca apabila tiadanya rekod dokumen hitam putih yang ditinggalkan oleh si mati iaitu wasiat. 

Ini semua dapat dielakkan sekiranya kita para wanita mengambil peranan untuk mengetahui Ilmu Perancangan Pewarisan Harta. 

DALIL WASIAT Pada permulaan Islam, berwasiat adalah suatu kewajipan untuk ibu bapa dan kaum kerabat yang terdekat berdasarkan Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Diwajibkan ke atas kamu, apabila seseorang di antara kamu kedatangan (tanda-tanda) maut, jika ia meninggalkan harta yang banyak, berwasiatlah untuk ibu-bapa dan kaum kerabatnya secara ma’ruf (ini adalah) kewajipan atas orang-orang yang bertaqwa”. (Surah Al-Baqarah:180) 

APA ITU WASIAT? 

Wasiat ertinya iqrar seseorang yang dibuat pada masa hayat ke atas hartanya untuk disempurnakan selepas kematiannya bagi maksud kebajikan yang dibenarkan menurut Hukum Syarak. 

ILMU PERANCANGAN PEWARISAN HARTA: APA YANG WANITA PERLU TAHU? 

Kesedaran wanita dalam membuat perancangan pewarisan harta masih lagi rendah. Meskipun kebanyakan mereka mengetahui kepentingan untuk melindungi waris-waris yang ditinggalkan. Sehinggalah berlaku kematian dalam keluarga, yang menyebabkan mereka hilang tempat bergantung dan pada masa yang sama tidak bekerja tetapi mempunyai tanggungan. Pada ketika itu wanita akan mula sedar mengenai kepentingan perancangan pewarisan yang sepatutnya dilakukan dan mencari jalan penyelesaian berkenaan harta pusaka yang ditinggalkan. 


Biarpun wanita disifatkan seorang yang bijak dan teliti mengatur perancangan masa hadapan dan kewangan berbanding orang lelaki, tetapi tidak ramai yang mengambil berat terhadap perancangan pewarisan. Malahan, terdapat segelintir wanita yang bujang dan berkerjaya langsung tidak pernah terfikir ke mana harta yang dikumpul semasa hayat mereka akan diagihkan apabila meninggal dunia. Sedangkan perancangan pewarisan adalah pelengkap kepada perancangan kewangan yang patut dilakukan semasa hayat. 

PERINGATKAN DIRI DAN SUAMI 

Jika seseorang wanita itu telah berkahwin, mereka sewajarnya sentiasa memainkan peranan mengingatkan suami secara kerap supaya melaksanakan perancangan pewarisan bagi menghadapi sebarang kemungkinan yang boleh berlaku, terutama membabitkan harta yang ditinggalkan. Jika suami belum membuat perancangan harta secara wasiat atau hibah, sila beritahu suami untuk melakukannya selagi masih diberikan kesihatan yang baik dan kudrat untuk bergerak ke mana-mana. 

Tidak kiralah sebagai seorang isteri yang berkerjaya ataupun suri rumah sepenuh masa sahaja, wanita perlu memainkan peranan mengingatkan suami untuk melaksanakan perancangan pewarisan demi kelangsungan hidup bersama anak apabila suami meninggal dunia kelak. 

Begitu juga jika wanita tersebut seorang yang hidup bersendirian sama ada ibu tunggal atau belum berkahwin, mereka juga tidak terkecuali membuat perancangan pewarisan supaya harta yang dimiliki dapat dibahagikan dalam bentuk jariah dan selebihnya dibahagikan kepada waris-waris yang berhak. 

Tanpa persiapan yang betul ke atas perancangan pewarisan tidak ada jaminan harta yang dikumpul semasa hidup bakal diwarisi dengan mudah, terutama jika seseorang mempunyai anak angkat dan anak tiri yang sememangnya kita berhasrat supaya mereka menikmati manfaat daripada harta pusaka yang ditinggalkan. 


SIMPAN DAN REKOD DOKUMEN HARTA 

Dalam membuat perancangan pewarisan, perkara pokok yang perlu diketahui oleh wanita adalah dengan memastikan anda dan suami menyimpan semua geran atau perjanjian yang ada. Jika masih ada hutang pembiayaan, pastikan semua resit bayaran, penyata pembiayaan tahunan dan penjanjian pembiayaan disimpan dengan baik. Anda juga perlu menyimpan ‘cover note’ atau polisi takaful yang melindungi pembiayaan ke atas harta tak alih. Ia penting supaya baki hutang pembiayaan dapat diselesaikan jika terjadi sebarang musibah. Semua dokumen yang berkaitan harta alih perlulah disimpan seperti buku akaun, penyata pelaburan dan polisi. Jika ada nombor telefon broker, remisier, ejen atau syarikat pelaburan dan takaful yang sering dihubungi, catatkan untuk kemudahan membuat sebarang tuntutan atau urusan. Untuk akaun simpanan, jika ada kad ATM, bolehlah dicatatkan nombor pin setiap kad ATM yang ada. 

Selain maklumat berkenaan harta, anda jangan lupa untuk mengenalpasti semua hutang yang masih ada. Tidak kira hutang dengan Allah seperti zakat, badal haji, fidyah dan kaffarah atau hutang dengan individu atau dengan bank/institusi kewangan. Semua perjanjian pembiayaan, resit bayaran dan penyata pembiayaan perlu disimpan dengan baik. Sebaik-baiknya, hutang perlu diselesaikan semasa hayat masih ada. Tetapi, jika ajal sudah menjemput, menjadi tanggungjawab waris untuk menyelesaikan hutang yang masih berbaki. Jika menjadi pemiutang (pemberi hutang) dan penjamin, semua dokumen berkaitan juga perlu didokumenkan. 

Selepas mengenalpasti semua harta dan hutang, anda perlu menyenaraikan semua waris yang ada. Waris-waris yang perlu disenaraikan adalah anak-anak, isteri, ibu dan bapa. Jika sebelum ini pernah berkahwin lain, mempunyai anak dan bercerai, perlulah dikenalpasti anak-anak yang terpisah tersebut. Waris-waris yang terputus hubungan perlu dikesan dan dicari, walaupun mereka tinggal berjauhan, mereka masih mempunyai hak ke atas harta pusaka yang akan ditinggalkan. Dapatkan dan simpan salinan sijil beranak, kad pengenalan, sijil kahwin/nikah dan sijil kematian (jika waris telah meninggal dunia). Jika ada perkahwinan yang belum didaftarkan, daftarkan segera supaya tidak berlaku drama-drama pertikaian selepas kematian nanti. Begitu juga dengan anak-anak yang tidak didaftarkan, pastikan semuanya berdaftar dan mempunyai sijil kelahiran atau kad pengenalan. Setiap waris adalah berhak ke atas harta pusaka yang ditinggalkan. 

KENALI INSTRUMEN PERANCANGAN PEWARISAN HARTA 

Langkah yang paling penting ialah bagaimana anda sebagai wanita menasihati suami atau melakukan untuk diri sendiri melaksana instrumen-instrumen perancangan pewarisan harta. Antara instrumen-instrumen yang boleh digunakan adalah: 

Wasi / Penama / Pentadbir – Melantik wasi / penama / pentadbir yang akan bertindak untuk mentadbir dan bertanggungjawab untuk menguruskan pembahagian harta pusaka kepada benefisiari dan waris-waris yang berhak selepas kematian nanti. 

Hibah – Memindah milikkan / menghadiahkan harta semasa hidup kepada mana-mana waris atau bukan waris atau mana-mana orang yang disayangi. 

Wasiat – Mengikrarkan untuk mewasiatkan harta semasa hidup untuk dibahagikan selepas mati pada kadar 1/3 harta sahaja dan bukan kepada waris. Sekiranya lebih dari 1/3 atau kepada waris, ia tidak akan berkuatkuasa melainkan dipersetujui oleh waris-waris lain nanti. 

Amanah – Menyerahkan harta kepada pemegang amanah yang akan bertanggungjawab untuk melaksanakan amanah dan melindungi harta pusaka anda. 

Wakaf – Menginfaqkan harta pusaka yang ditinggalkan sebagai sumbangan untuk kegunaan umum seperti pembinaan masjid. Wakaf berfungsi sebagai kesinambungan amalan selepas kematian. Jumlah harta yang diwakafkan sekiranya selepas kematian adalah tidak melebihi 1/3 daripada nilai kesemua harta bersih yang ditinggalkan. 

Faraid – Pembahagian harta pusaka yang ditetapkan oleh hukum syarak. Faraid memastikan pembahagian yang adil dan saksama kepada kesemua waris yang ditinggalkan. Pecahan pembahagian bergantung kepada jenis (anak lelaki, anak perempuan, isteri, ibu, bapa) dan bilangan waris yang masih ada. 

APA YANG PERLU DIBUAT? 

Dapatkan khidmat dan nasihat profesional 

Selepas membuat draf pewarisan harta dan memilih instrumen-instrumen yang sesuai, draf tadi perlulah didokumenkan supaya menjadi satu dokumen wasiat / hibah / amanah / perwarisan yang sah. Untuk menghasilkan dokumen yang sah memerlukan kepada bantuan daripada mereka yang arif dalam bidang pewarisan dan undang-undang. Di sinilah pemilik harta boleh melantik Majlis Agama Islam Selangor sebagai pihak berautoriti untuk bertindak sebagai wasi, pemegang amanah atau pentadbir harta pusaka. Hubungi MAIS di talian 03-55143773 atau 3772 atau layari www.mais.gov.my. 

Sediakan peruntukan kewangan 

Apabila memerlukan khidmat profesional untuk menyediakan dokumen-dokumen wasiat / hibah / amanah / perwarisan, sudah semestinya memerlukan kos. Oleh itu, sediakanlah peruntukan kewangan secukupnya. Walaupun kos terpaksa dikeluarkan, ketahuilah bahawa kos yang dikeluarkan ini mungkin lebih rendah jika dibandingkan dengan kos mengurus harta pusaka yang terpaksa waris-waris keluarkan jika tiada perancangan awal dibuat. 

Maklumkan perancangan pembahagian kepada waris atau orang yang boleh dipercayai 

Langkah ini dilakukan bagi memberitahu waris atau orang yang dipercayai supaya menghubungi wasi, pemegang amanah atau pentadbir yang telah dilantik jika berlaku kematian oleh pemilik harta. Perancangan yang bijak yang telah dilakukan sebelum ini akan dapat membantu waris-waris seterusnya mereka boleh menikmati harta pusaka dengan penuh kesyukuran dan mengekalkan hubungan erat silaturrahim dalam keluarga. 


Diharapkan segala ilmu yang dikongsikan di atas dapat membuka mata kita untuk bertindak dari sekarang kerana apabila sudah terhantuk baru tengadah, tentulah tidak ada gunanya lagi. Sama-sama lah kita beringat.

Untuk info lanjut mengenai wasiat dan e-wasiat, layari laman sosial Majlis Agama Islam Selangor seperti di bawah : 

WEBSITE MAIS:
🌐 www.mais.gov.my (Daftar e-Wasiat)

FACEBOOK:

INSTAGRAM:

Post a Comment

6 Comments

  1. Ya kita kena ada ilmu utk share dgn lebih ramai wanita supaya tidak merana dan salah buat keputusan.

    ReplyDelete
  2. Sebagai wanita kita memang kena ambil tahu sedikit sebanyak ilmu agar senang kemudian hari, terima kasih info ini sangat bermanfaat.

    ReplyDelete
  3. Wasiat ni sebenarnya penting kan. Bukan sebab tamak harta. Tapi sekadar nak membahagikannya ikut pembahagian yang btl.

    ReplyDelete
  4. Yes this is important to ensure the family harmony.

    ReplyDelete
  5. Memang wasiat ni penting supaya tak menjadi perebutan harta dan pergaduhan dalam keluarga

    ReplyDelete
  6. Good sharing.. kena ada wasiat supaya tak timbul salah paham atau rebut harta nanti..

    ReplyDelete