Find us on Facebook

Travelog Menarik Untuk Anak Anda Ketika Musim Cuti Sekolah Tahun 2023

Cuti sekolah sudah bermula! Ini adalah masa yang sesuai untuk anak-anak anda menikmati waktu rehat mereka. Jika anda sedang mencari tempat untuk membawa anak-anak anda, Tourism Selangor telah menyenaraikan beberapa tempat menarik untuk merancang sebuah travelog mini bersama anak-anak anda!



TARIKAN & AKTIVITI

Daripada berayun-ayun di kapal angkasa hingga melompat tanpa henti di atas trampolin, Selangor menawarkan segala-galanya untuk menghabiskan hari yang terbaik bersama anak-anak anda! Mari terokai tempat-tempat menarik yang disenaraikan ini untuk merancang pelbagai aktiviti bersama si cilik anda!

    1. Muzium Coklat

Pernahkah anda membayangkan dunia yang diperbuat daripada coklat? Siapa yang memerlukan tiket emas ke Willy Wonka apabila kita mempunyai Muzium Coklat di Kota Damansara Petaling Jaya? Muzium Coklat ini adalah muzium coklat terbaharu, paling menarik dan unik di Asia Tenggara, dengan paparan digital interaktif, fakta menarik, peralatan terkini dan lebih daripada 100 jenama coklat tersedia dengan tawaran harga terbaik! Jadikan anak-anak anda Next Asian Top Chocolatier dengan menyertai aktiviti di makmal coklat mereka pada harga serendah RM 39 sahaja dan bawa balik coklat buatan tangan mereka yang lazat!

    2. Jump Street Asia

Melompat, melantun dan bergolek di atas hampir seratus trampolin yang disambungkan ke gelanggang besar, termasuk gelung bola keranjang trampolin yang unik, gelanggang dodgeball trampolin, bola gelembung dan beg udara gergasi yang boleh dicuba oleh anak-anak anda. Jump Street Asia ialah taman permainan indoor yang menyeronokkan untuk semua, sama ada anda seorang atlet amatur atau berpengalaman. Terdapat juga kawasan bermain khas untuk kanak-kanak seawal usia tiga tahun!

    3. Next-Gen

Terletak di Pusat Beli-belah One Utama, Next-Gen ialah Taman Tema Family Edutainment seluas sekitar 45,000 kaki persegi yang menampilkan Taman Permainan Kanak-kanak dan Play City. Anak-anak anda boleh meneroka kedai roti, balai bomba dan pasar raya seperti dunia sebenar! Dilengkapi dengan Karaoke, Zon Permainan, Bilik Parti dan Kafe, Next-Gen memenuhi keperluan mereka yang berjiwa muda dengan pelbagai aktiviti dan tarikan yang ditawarkan!

    4. Amverton Riverine Splash, Water Theme Park

Cuti sekolah tidak lengkap untuk masyarakat Asia tanpa percutian tropika! Mari bermain di taman tema air bertemakan tribal yang baru dibuka di Amverton Riverine Splash. Hanya 1 jam dari Kuala Lumpur, Riverine Splash menawarkan lebih 12 tarikan, dengan Riverine Hotel & Suites terletak betul-betul di sebelah taman tema ini.

GASTRONOMI

Sudah tiba masanya untuk berada jauh dari skrin anda! Nikmati makanan di restoran bertema di Selangor ini, dilengkapi dengan kawasan permainan untuk anak-anak anda. Terokai gastronomi hebat yang disenaraikan di sini dan manjakan diri anda dengan hidangan yang lazat dan memuaskan!

    1. Restoran FOODtree

RAWR! Restoran bertemakan Jurassic yang terletak di Glenmarie Shah Alam ini sememangnya menyeronokkan di bandar yang boleh anda terokai bersama anak-anak anda! Restoran FOODtree menawarkan masakan yang lazat daripada Dinosaur Trap (ayam panggang), Nest of Dinosaur (spaghetti bolognese), Telurex (ais kepal Milo) dan Jumbo Herbs mereka! Dilengkapi dengan ruang acara untuk parti persendirian, Restoran ini mempunyai pelbagai aktiviti untuk kanak-kanak, daripada mewarnai Dinosaur sehinggalah menunggang mereka di sekitar restoran!

    2. Geng’s Corner, Upin Ipin

Betul betul betul! Imbau kembali zaman kanak-kanak di restoran bertema Upin Ipin oleh Les’ Copaque di Shah Alam ini. Pelbagai masakan ditawarkan di sini, daripada hidangan tempatan yang lazat dan makanan barat kepada Makanan Thai; restoran ini mempunyai segalanya yang bertepatan dengan selera anda! Geng's Corner terletak berhampiran dengan Les’ Copaque itu sendiri, di mana segalanya bermula untuk animasi legenda ini!

    3. Kafe Bucket B, Jaya One

Terletak di Petaling Jaya, Kafe Bucket B menawarkan hidangan dan pastri barat yang lazat untuk anak-anak anda. Kafe ini direka khas untuk mesra kanak-kanak, lengkap dengan kawasan permainan, buku cerita dan semua jenis mainan dan permainan video yang tersedia. Kafe yang menenangkan dan estetik ini bukan sahaja menarik untuk kanak-kanak tetapi juga tempat yang santai untuk ibu bapa menikmati secawan kopi atau teh mereka.

PENGINAPAN

Travelog anda tidak lengkap tanpa staycation bersama keluarga kecil anda! Terokai hotel hebat ini yang memenuhi harga dan pilihan yang berbeza. Jangan risau! Hotel-hotel ini juga terletak berhampiran tarikan menarik dan kedai makanan yang disenaraikan di atas untuk merehatkan diri anda selepas seharian beraktiviti bersama anak-anak anda!

    1. De-Art Hotel Shah Alam

Jadi Picasso kecil seterusnya di De-Art Hotel, Shah Alam. Setiap bilik mempunyai tema seni dan jalan cerita tersendiri, daripada filem, selebriti dan cerita dongeng, kepada dunia fantasi dan seni moden. Sudah tiba masanya untuk anak-anak anda bersama watak animasi kegemaran mereka atau menanam minat anda terhadap karya-karya seni yang terdapat di sini!

    2. Semenyih Eco Venture Resort & Recreation

Semenyih Eco Venture ialah tempat percutian yang menenangkan, jauh dari kesibukan dan hanya 45 minit dari Kuala Lumpur. Ia adalah "hotel kontena terbesar" di kawasan Hulu Langat, dan sebahagian daripada pusat rekreasi luar seluas 20 ekar. Semenyih Eco Venture ialah tempat yang sesuai untuk berseronok dan menaikkan adrenalin anda daripada pelbagai sukan lasak yang ditawarkan bersesuaian dengan tema mereka "play hard, get dirty & have fun!"

    3. Dashbox Hotel, Cyberjaya

Dengan arnab hijau sebagai maskot, Dash Box Hotel Cyberjaya ialah tempat yang sesuai untuk membawa keluarga anda bercuti. Penampilan seni binanya yang futuristik memikat mata dan sesuai untuk mengambil gambar sebagai kenang-kenangan untuk anak-anak anda. Bukan itu sahaja, hotel ini juga berdekatan dengan D’Pulze Shopping Centre, Tasik Putrajaya, Sembunyi Spa dan KidzTech Centre. Terletak di tengah-tengah hab teknologi global, hotel ini benar-benar sesuai untuk percutian hujung minggu.

PENUTUP

Kita semua tahu betapa bosannya anak-anak apabila mereka terkurung di rumah. Sama ada pada hujung minggu atau musim cuti sekolah, Selangor mempunyai segala-galanya, dari taman tema ke taman permainan indoor serta restoran mesra keluarga! Untuk lebih banyak inspirasi perjalanan ke Selangor, layari laman web rasmi Tourism Selangor, www.selangor.travel, atau ikuti akaun media sosial rasmi Tourism Selangor; Instagram, Facebook, Twitter, TikTok, dan saluran YouTube Tourism Selangor. #PusingSelangorDulu.

Post a Comment

1 Comments

  1. Banyak rupanya tempat anak-anak bercuti di Selangor! Saya baliksekali-sekala ke Selangor, tak sempat nak jalan-jalan banyak tempat.

    ReplyDelete